Pengerusi Pergerakan Pemuda BN, Khairy Jamaluddin berkata, terdapat isu lain yang lebih pen­ting untuk dilaksanakan di Kelantan berbanding PRK khususnya aspek pemulihan pascabanjir selepas negeri berkenaan terjejas teruk akibat bencana tersebut.
Katanya, untuk melaksanakan kerja-kerja pemulihan pascabanjir memerlukan kerjasama semua pihak termasuk kerajaan negeri serta kerajaan Pusat dan bagi mengelak perselisihan faham berlaku, adalah lebih baik untuk BN tidak meletakkan calon dalam PRK itu.
“Pergerakan Pemuda BN berpendapat parti tidak perlu meletakkan calon pada PRK Chempaka kerana kawasan itu telah lama disandang oleh Allahyarham Nik Abdul Aziz, jadi keputusan ini sebagai penghormatan kepada bekas Menteri Besar Kelantan itu.
“Adalah lebih baik kita tumpukan perhatian kepada aspek pemulihan pascabanjir, sekarang kerajaan negeri dan kerajaan Pusat sedang jalinkan kerjasama untuk tujuan tersebut, jadi kita tidak mahu PRK DUN Chempaka mengganggu kerjasama itu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Karnival Walk A Run Kolej Tunku Kurshiah (TKC) anjuran Persatuan Murid-murid Tua TKC di Kompleks Sukan Air, Presint 6, di sini hari ini.
Terdahulu Karnival Walk A Run TKC yang diadakan untuk mengumpul dana bagi membaik pulih padang permainan TKC itu dirasmikan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Khairy berkata demikian sebagai mengulas PRK DUN Chempaka selepas penyandangnya, Nik Abdul Aziz yang menghidap kanser prostat meninggal dunia Khamis lalu.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-13, bekas Menteri Besar Kelantan itu menewaskan calon BN, Wan Razman Wan Abd. Razak dengan majoriti 6,500 undi.
Sementara itu, ditanya mengenai PRK di Parlimen Permatang Pauh di Pulau Pinang pula, Khairy berkata, BN perlu bertanding merebut kerusi tersebut kerana kekosongan berlaku disebabkan keputusan mahkamah.
“Situasi PRK DUN Chempaka berbeza dengan PRK Parlimen Permatang Pauh dan BN perlu mele­takkan calon untuk bertanding me­rebut kerusi tersebut,” katanya.
Kerusi Parlimen Permatang Pauh dijangka kosong dalam tempoh 14 hari berikutan Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap penyandangnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Ketua Pembangkang kerana bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.( Utusan online-politik).Posted by abnmulya / Abu Bakar Ninggal.blogspot. com.at 10.47 am on Feb-16,2015.