HUSSAINI AMRAN :15 Februari 2015 1:23 AM
Najib Tun Razak melihat gambar bapanya, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein bermain golf yang ditunjukkan oleh Pengerusi Biro Wanita Pemadam, Datuk Jamelah A.Bakar (kanan) selepas mengambil bahagian dalam Kejohanan Golf Perdana 2015 Piala Sultan Azlan Shah anjuran Pemadam di Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan, Johari Baharum (kiri). – MINGGUAN/Ghazali Basri
KUALA LUMPUR 14 Feb. - Datuk Seri Najib Tun Razak akan memanggil Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel dan timbalannya, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam sekali lagi untuk berbincang tentang krisis parti berkenaan.
Perdana Menteri berkata, pertemuan kali kedua dengan kedua-dua pemimpin tertinggi MIC itu dijangka diadakan pada Isnin atau Selasa ini.
Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) memberitahu, tujuan pertemuan tersebut adalah untuk mendapatkan penjelasan lanjut daripada Palanivel dan Subramaniam.
“Saya akan berjumpa dengan Palanivel dan Subramaniam sekali lagi Isnin atau Selasa ini untuk mendapatkan penjelasan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Pertandingan Golf Perdana 2015 Piala Sultan Azlan Shah di Kuala Lumpur Golf and Country Club (KLGCC) di sini hari ini.
Najib meluangkan masa bermain golf dalam pertandingan anjuran Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) itu.
Yang turut hadir, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang; Yang Dipertua Pemadam, Datuk Mohd. Johari Baharum dan Pengerusi pertandingan, Senator Datuk Mohd. Suhaimi Abdullah.
Terdahulu, Palanivel dalam sidang akhbar hari ini mendakwa, Pendaftar Pertubuhan (ROS) telah mencabul Perlembagaan parti itu apabila memberi kuasa sementara kepada Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CWC) 2009 yang telah dibubarkan untuk menguruskan parti.
Presiden MIC itu memberi tempoh sehingga Selasa ini kepada ROS untuk menarik balik arahan tersebut atau bakal berdepan dengan tindakan mahkamah.
Palanivel dan Subramaniam pernah dipanggil oleh Perdana Menteri untuk membincangkan isu kemelut dalaman MIC pada pertemuan awal bulan ini.
Krisis dalaman MIC tercetus selepas ROS membatalkan pemilihan bagi jawatan tiga naib presiden dan 23 ahli jawatankuasa kerja pusat (CWC) dalam Perhimpunan Agung parti itu di Melaka pada November 2013.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada Isnin lalu meminta MIC mengadakan pemilihan semula untuk semua jawatan termasuk peringkat cawangan dan bahagian mulai April hingga Julai ini bagi mengelakkan pendaftaran parti itu dibatalkan.( Utusan online).Posted by abnmulya / Abu Bakar Ninggal,blogspot.com at 6.05 am on FEB-15,2015.
.jpg)
No comments:
Post a Comment