Saturday, August 8, 2015

PM mahu ahli UMNO jadi pengamal media sosial

Serategi menang PRU akan datang09,Ogos 201`5 @ 1.12 am.

Datuk Seri Najib Tun Razak,Presiden Umno dan PM ke -6.
KUALA LUMPUR 8 Ogos – Datuk Seri Najib Tun Razak mahu tiga juta ahli UMNO menjadi pengamal media sosial yang aktif untuk membuat serangan balas terhadap fitnah pembangkang bagi memenangkan parti itu dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, kesemua ahli UMNO perlu bersiap sedia dan menguasai platform tersebut sebagai medan pertempuran politik baharu yang terbaik.

Katanya yang juga Presiden UMNO, sekarang bukan lagi zaman yang menggunakan alam fizikal dengan strategi bersemuka untuk berperang dan berbahas, sebaliknya menggunakan media sosial seperti Facebook, Twitter, blog dan lain-lain media baharu.

Pada masa yang sama, menurut Perdana Menteri, beliau juga tidak mahu ahli UMNO menjadi ‘pak turut’ atau ‘yes man’ dalam parti yang langsung tidak mendatangkan manfaat atau perbezaan dalam perjuangan parti.

Beliau mahu ahli parti yang berdisiplin dan boleh bertukar pendapat, bertengkar, bertumbuk, malah, boleh bertumbuk meja untuk menegaskan hujah masing-masing.

“Dengan jumlah ahli UMNO seramai tiga juta orang, itu sudah memadai dan jauh lebih besar untuk mendominasi media sosial berbanding wira papan kekunci yang dimiliki parti pembangkang, Red Bean Army (RBA).

“Kalau bertepuk dalam dewan, kita bagus, tetapi kalau dalam ruang siber, kita kalah. Ini medan baharu kita yang juga pencanang medan politik baharu. Pada saya, sekarang bukan lagi alam fizikal, bukan lagi bersemuka tetapi merupakan alam Facebook, Twitter dan lain lain lagi,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Bandar Tun Razak di sini hari ini. 

Yang turut hadir, Setiausaha Agung UMNO yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Johari Abdul Ghani; Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan,

Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin; Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee dan Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar.

Tambah Najib, ahli-ahli UMNO boleh mengalahkan RBA kerana mereka mempunyai kekuatan. 

“Kita kini masih lagi dalam persekitaran lama dan berada dalam politik lama. Kita mesti memahami media sosial demi memenangi hati fikiran rakyat yang ditabur dengan pelbagai maklumat sehingga maklumat itu menjadi terlebih dos,” ujarnya.

Terdahulu, Rizalman dalam ucapannya menegaskan UMNO Bandar Tun Razak menyokong kepemimpinan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin walaupun digugurkan dari pada pentadbiran kerajaan selagi tidak memberi ancaman kepada parti.

Jika sebaliknya kata Rizalman, pihaknya menyerahkan perkara itu kepada kepemimpinan parti untuk membuat keputusan.

“Sewaktu pengumuman besar menyatakan Muhyiddin digugurkan daripada Kabinet, kami turut merasainya. Pengumuman itu menyedihkan.

“Apa-apa pun, kami tetap hormati pendirian kepimpinan UMNO dan tidak akan berbelah bahagi menyatakan sokongan,” ujar beliau.( Utusan online-politik).Posted by abnmujlya  /Hji.Abu bakar ninggal.blogspot.com at 8.18 am on Ogos 2015.

No comments: