16 September 2015 1:54 AM
PUTRAJAYA 15 Sept. - Jabatan Peguam Negara menegaskan, tindakan pihak serta individu tertentu sama ada dalam media cetak mahupun elektronik yang cuba mengaitkan pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shariibuu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak jelas tidak berasas.
Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata, perkara tersebut adalah berdasarkan kepada beberapa faktor berikut iaitu perbicaraan kes pembunuhan Altantuya adalah begitu komprehensif dan semua saksi telah dipanggil untuk memberikan keterangan masing-masing.
Katanya, setiap bukti dan keterangan saksi-saksi itu kemudian tertakluk kepada penelitian yang begitu mendalam sama ada di peringkat Mahkamah Rayuan mahupun Persekutuan.
“Bukan itu sahaja semasa proses perundangan kes tersebut berjalan tidak pernah nama Perdana Menteri muncul melalui apa-apa cara sekalipun.
“Malah, bukti yang ada juga tidak menunjukkan bahawa Perdana Menteri memainkan apa-apa peranan dalam kes tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohamed Apandi dalam kenyataannya turut menyentuh mengenai permintaan Abdul Razak Abdullah Baginda atau lebih dikenali dengan Razak Baginda memohon pertolongan pengawal peribadi Najib, Deputi Superitenden Musa Safri untuk mendapatkan seorang pegawai polis bagi membantunya dalam urusan peribadi.
Beliau berkata, rentetan daripada itu, Musa kemudian telah meminta salah seorang tertuduh iaitu Cif Inspektor Azilah Hadri bertemu dengan Razak Baginda.
“Dalam testimoninya, Azilah telah menyatakan bahawa Musa tidak memainkan peranan lain dan juga tidak memberikan apa-apa arahan mengenai perkara tersebut. Musa kemudian telah ditawarkan kepada pihak pembelaan sebagai saksi.
“Seorang lagi tertuduh, Lans Koperal Sirul Azhar Umar yang juga dalam kenyataannya (dalam kandang tertuduh) sebelum ini mengaitkan tiada orang lain kecuali Razak Baginda dan keseluruhan episod dilakukan atas arahan Azilah,” ujarnya.
Selain itu, Mohamed Apandi turut menjelaskan bahawa dalam testimoni serta kenyataan penyiasat persendirian mendiang P. Balasubramaniam sama ada kepada polis atau mahkamah juga tidak pernah menyebut pembabitan Perdana Menteri dalam kes berkenaan.(Utusan online-).Posted by abnmulya / hj.bakar ninggal.blogspot.com at 11.47 am on September 16,2015.
No comments:
Post a Comment