Friday, September 11, 2015

DEIG tidak perlu

Selangor sudah mempunyai MBI – Khalid 

MOHD. ASRON MUSTAPHA</ 12 September 2015 1:39 AM


KUALA LUMPUR 11 Sept. - Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menegaskan, sebenarnya tia­da keperluan untuk Mohamed Azmin Ali menubuhkan Darul Ehsan Investment Group (DEIG).
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim

Malah katanya, semasa era pentadbiran beliau, tiada sebarang cadangan ma­­hupun perbinca­ngan dibuat mengenai keperluan DEIG kerana Selangor sudah mempunyai Perbadanan Menteri Besar (MBI).

Selain itu, tegasnya, dari segi konsep pula penubuhan DEIG menyebabkan kerajaan negeri dilihat cuba bersaing dengan pihak swasta, sedangkan ke­adaan tersebut tidak sepatutnya di­benarkan berlaku. “Sebenarnya tak payah (tubuh DEIG).

Dulu pun sudah banyak ditubuhkan syarikat di bawah MBI tetapi tidak dapat diuruskan dengan baik. Sebab itu di zaman saya, kami fokus kepada memperkukuhkan MBI.

“Untungnya MBI ini berbanding entiti baharu, badan ini bukan syarikat. Jadi kita tidak perlu bayar cukai dan duti setem, semua pendapatan terus kepada kerajaan negeri,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran Persidangan dan Pameran Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk-Eko 2015, di sini hari ini.

Penubuhan DEIG yang menguruskan aset bernilai RM30 bilion sebaik sahaja Mohamed Azmin mengambil alih jawatan Menteri Besar Selangor menggantikan Abdul Khalid mencetuskan pelbagai kebimbangan banyak pihak.

Ini kerana Mohamed Azmin dilihat bukan sahaja cuba berdolak-dalih tetapi kerap memberi jawapan bercanggah setiap kali isu DEIG dibangkitkan orang ramai.

Dalam pada itu, Abdul Khalid meminta kepada pihak yang menyokong langkah Mohamed Azmin menubuhkan DEIG supaya jangan mengaitkan penubuhan berkenaan dengan alasan mahu memperluaskan kek ekonomi negeri.

“Kek ekonomi lain. Lebih baik kerajaan negeri menyediakan satu keadaan yang sangat sesuai untuk sektor swasta bergerak dengan lebih efisien dan efektif, bukannya bersaing dengan swasta,” katanya.( Utusan online-).Posted by abnmulya / Hj.bakar ninggal.blogspot.com at 3.15am on September 12,2015.

No comments: