Ismail Sabri Yaakob

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan itu wajar kerana mereka hanya dilihat sebagai duri dalam daging yang boleh membawa kepada kerosakan parti.
Katanya, UMNO perlu adil dari segi tindakan walaupun melibatkan barisan pimpinan tertinggi.
“Dalam UMNO sesiapa sahaja boleh dikenakan tindakan sekiranya melanggar peraturan. Ini bermakna tiada siapa pun kebal dari segi perlembagaan parti.
“Sebelum ini Ketua Pemuda UMNO sudah kena, begitu juga dengan Ketua Bahagian. Tiada sesiapa boleh terlepas daripada tindakan berdasarkan pangkat,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Dwi Tahunan Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM), di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berhubung satu Jawatankuasa Khas sedang menjalankan siasatan terhadap tujuh pemimpin UMNO berhubung kenyataan terbuka mereka yang boleh menjejaskan parti.
Tambah Ismail Sabri, sebanyak 154 ketua bahagian menyuarakan perkara sama agar mereka yang menjadi gunting dalam lipatan dikenakan tindakan segera melalui Jawatankuasa Disiplin UMNO.
“Apa jua tindakan terpulang kepada Jawatankuasa Disiplin. Mereka yang tentukan bentuk tindakan,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, beliau menafikan wujudnya gerakan untuk mengguling Timbalan Pre­siden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam parti.
“Saya tidak pula pernah men­dengar perkara itu. Yang saya de­ngar komplot untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri dan Presiden parti. Tiada komplot lain,” ujarnya.( utusan online-politik).posted by abnmulya // hj.abu bakar ninggal.blogspot.com at 11.18 am on oKT.,30,2015.