Datuk Hasan Arifin (BN-Rompin) berkata, Ketua Menteri Pulau Pinang itu seolah-olah tidak sedar bahawa situasi ber­kenaan berlaku di seluruh dunia akibat nilai dolar AS semakin me­ngukuh.
Menurut beliau, andaian penyusutan nilai ringgit berlaku kerana kononnya terdapat kelemahan dalam pengurusan ekonomi negara adalah tidak adil.
“China yang merupakan sebuah gergasi ekonomi dunia terpaksa mengambil tindakan melemahkan mata wangnya dan begitu juga dengan Singapura.
“Penyusutan nilai ringgit bukan berpunca daripada kelemahan kita menguruskan ringgit tetapi akibat situasi ekonomi dunia menyebabkan ringgit dalam keadaan sedemikian rupa,” katanya ketika mencelah Guan Eng yang membahaskan Bajet 2016 dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Dalam celahannya sebelum itu, Hasan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) meminta Guan Eng menjelaskan sama ada beliau sedar China dan Singapura mungkin akan melemahkan mata wang masing-masing sekali gus menunjukkan situasi yang dihadapi ringgit sedang berlaku di seluruh dunia.
Guan Eng ketika menjawab celahan tersebut berkata, China dan Singapura sengaja berbuat demikian sambil mendakwa, kejatuhan nilai ringgit berlaku apabila pelabur menjual mata wang tersebut kerana isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah menghilangkan keyakinan mereka.(Utusan online-parlimen)..Posted by abnmulya //haji abu bakar ninggal.blogspot.com at 12.15 noon on Oktober 27,2015.