Ketua UMNO Bahagian Seputeh, Datuk Mustapa Kamal Mohd. Yusoff mendakwa, sekiranya sumber dana tersebut didedahkan, perkara itu dikhuatiri akan memberi kesan kepada kepentingan peribadi penyumbang dan agenda politik parti pembangkang.
“Sampai sekarang, pembangkang tidak pernah dedahkan siapa penyumbang dana politik mereka. Boleh jadi sumber tersebut datang daripada individu atau pihak yang sebenarnya menyokong kedua-dua pihak iaitu kerajaan dan pembangkang.
“Mungkin penyumbang dana dan parti pembangkang sudah bersetuju untuk saling membantu dan merahsiakan perkara sebenar demi menjaga kepentingan masing-masing,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim semalam mengenai parti pembangkang terutama DAP dan PKR yang tidak pernah telus dalam perjuangan apabila terus menyembunyikan identiti penyumbang dana politik mereka.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Wilayah Persekutuan, Faizan Mohd. Nor berkata, parti pembangkang disifatkan seperti baling batu sorok tangan apabila berterusan tidak mahu bekerjasama memberitahu sumber dana politik mereka.
Menurut beliau, sikap degil pembangkang itu seperti tidak menghiraukan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai penubuhan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) bagi merangka satu pelan pembiayaan politik berintegriti yang komprehensif dan inklusif.
“Adakah parti pembangkang takut jika rakyat mengetahui sumber dana politik yang diterima? dan kenapa perlu takut sekiranya yakin mereka adalah pemimpin rakyat?
“Sudah tiba masanya pembangkang bersikap telus kepada rakyat dan jangan membiarkan isu sumber dana politik mereka disembunyikan,” ujarnya( utusan online-politik).POSTED BY ABNMULYA // HAJI ABU BAKAR NINGGAL.BLOGSPOT.COM AT  9.49 AM ON oKT.,28,2015