Thursday, October 29, 2015

Sumber dedahkan Muhyiddin bakal digantung sebelum perhimpunan agung Umno.

OLEH MD IZWAN 
Published: 30 October 2015 7:12 AM

Susulan kenyataan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (tengah) mengenai masa depan beberapa pemimpin Umno, sumber berkata Tan Sri Muhyiddin Yassin (kiri) bakal digantung keahlian Umno sebelum parti itu berhimpun Disember ini. – Gambar fail The Malaysian Insider, 30 Oktober, 2015. 


Umno bakal menggantung Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum perhimpunan agung pada Disember, kata sumber, disebabkan serangan berterusannya terhadap Datuk Seri Najib Razak berhubung kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan derma RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi presiden parti Melayu itu.

Sumber parti mendedahkan, Majlis Tertinggi (MT) Umno sedang menyiapkan kertas pertuduhan untuk dibawa ke Lembaga Disiplin dengan bukti-bukti kesalahan dilakukan Muhyiddin. Langkah ini diambil bagi mengelakkan Muhyiddin daripada terus menyerang kepimpinan Umno semasa perasmian melibatkan sayap parti Disember nanti.

Difahamkan, keputusan penangguhan kali kedua mesyuarat MT pada 30 Oktober juga dikatakan bagi membuat persediaan menyingkir Muhyiddin.

Antara kesalahan dikatakan dilakukan Muhyiddin ialah mengeluarkan kenyataan mengenai 1MDB dan berterusan mempersoalkan derma RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi Najib walaupun penjelasan sudah diberi.

"Muhyiddin akan digantung sebelum perhimpunan Disember nanti, terdapat kebimbangan di kalangan pimpinan tertinggi parti beliau akan terus mengkritik semasa perasmian sayap nanti.

"Kertas pertuduhan untuk dibawa ke Lembaga Disiplin sedang disiapkan," kata sumber itu kepada The Malaysian Insider. Dengan penggantungan ini, Naib Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan memangku jawatan timbalan presiden sehingga pemilihan pada 2018 nanti, kata sumber.

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Yunos berkata tindakan Muhyiddin membelakangkan keputusan MT sebagai tidak beretika.

"Tan Sri Muhyiddin bangkitkan isu RM2.6 bilion dan isu 1MDB, perkara itu sudah dijawab semasa mesyuarat MT lepas, malah beliau sudah perjelaskan dan bersetuju untuk bersama dengan kepimpinan tapi selepas keluar mesyuarat lain pula yang dikatanya.

"Orang sebegini tidak beretika dan pembohong, depan cakap lain, belakang cakap lain," katanya kepada The Malaysian Insider, mengulas mengenai mesyuarat MT terakhir 9 September lepas.

Jamal juga mendakwa, majoriti ketua Umno Bahagian dalam kumpulan perbualan Telegram termasuk Bagan Datoh, berada dalam perbincangan mengenai sama ada wajar tindakan diambil terhadap Muhyiddin atau tidak.

"Memang kita ada kumpulkan pandangan daripada ketua bahagian, jadi sewajarnya mereka yang berada dalam parti dan menjadi ‘gunting dalam lipatan’ seperti dalam ucapan perdana menteri semasa pembentangan bajet lalu perlulah diambil tindakan.

"Majoriti, semua minta yang dikatakan gunting dalam lipatan ini diambil tindakan, dipecat, gantung dari jawatan kerana ia akan merosakan parti,"  merujuk kepada kenyataan Najib semasa pembentangan Bajet 2016 lalu.( Berita dan foto:Dipetik dari The Malaysian Insider.

No comments: