KHALID IBRAHIM
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, menerusi siasatan itu, Selcat harus membuktikan tiada sebarang unsur salah guna kuasa atau perlanggaran tatacara serta etika pengurusan dan pentadbiran berlaku walaupun DEIG telah tampil mengaku kewujudan tawaran pinjaman tersebut yang kemudiannya ditolak.

Menurutnya, isu tersebut tidak boleh dibiarkan berlalu begitu sahaja malah sepatutnya menjadi satu alasan kukuh bagi Selcat untuk memulakan siasatan.

“Tidak dapat disangkal lagi bahawa wujudnya merit bagi Jabatan Audit Negara untuk menjalankan kajian secara mendalam demi menentukan ke­sa­hihan semua dakwaan yang telah dibuat terhadap DEIG.

“Di peringkat negeri pula, dalam bidang kuasa Selcat atau JP-ABAS untuk menghubungi Bank Negara dan memohon satu siasatan bagi mendapatkan kepastian bagaimana pihak bank komersial boleh menawarkan sejumlah pinjaman yang besar kepada sebuah syarikat (dan anak syarikatnya) yang didakwa masih belum bero­perasi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Abdul Khalid yang mengulas mengenai pembinaan lebuh raya bertol yang didakwa dibuat semasa memegang jawatan Menteri Besar menegaskan, walaupun terdapat persetujuan secara prinsip atau bersyarat secara pentadbiran terhadap keperluan merancang satu sistem aliran trafik yang berkesan termasuk membina jajaran jalan raya lingkaran luar, beliau tidak pernah mengeluarkan perintah pembangunan terhadap mana-mana projek.

“Persetujuan secara prinsip yang diberikan juga tertakluk kepada hasil kajian penilaian kesan trafik, sosial dan alam sekitar bagi memastikan mana-mana projek lebuh raya bertol yang dicadangkan bakal memberi manfaat kepada rakyat, tidak membebankan rakyat atau memberi kesan negatif ke atas alam sekitar.

“Sebagaimana yang berlaku kepada projek Lebuh Raya Kinrara-Damansara (Kidex), pentadbiran sekarang mempunyai kuasa untuk tidak mengeluarkan perintah pembangunan bagi Lebuh Raya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), Lebuh Raya Damansara-Shah Alam (Dash) dan Lebuh Raya Lembah Klang Timur (EKVE),” katanya.( utusan online).Posted by abnmulya //hj.abu bakar ninggal.blogspot.com at 11.18 am on Novemberr 07,2015.