Chong Wei, yang merupakan juara Terbuka Hong 2013, 2010 dan 2009 bermula agak perlahan pada set pertama dengan ketinggalan 0-6 tetapi bangkit untuk menyamakan kedudukan 10-10 sebelum mencipta kemenangan 21-19.
Ketika set pertama menuju peng­hujung Chong Wei, yang dilihat berasa kurang selesa dengan tangan kanannya, meminta rehat untuk mendapatkan rawatan.
Pemain berusia 33 tahun itu bagaimanapun kembali lebih gagah untuk menguasai sepenuhnya baki permainan set pertama, dan meneruskan momentum itu pada set berikutnya dengan melakukan serangan-serangan bertenaga untuk menamatkan persaingan 21-14 dalam perlawanan yang berlangsung selama 46 minit.
Tian Houwei menjadi halangan terakhirnya dalam percubaan untuk merangkul gelaran Siri Super ketiganya tahun ini selepas pemain China itu turut mara ke final selepas menyingkirkan pemain muda Indonesia, Anthony Ginting 18-21, 21-11, 21-6.
Perlawanan akhir kejohanan bernilai AS$350,000 (RM1.51 juta) itu merupakan pertembungan kali kedua di antara Chong Wei dan Tian Houwei. Pertemuan mereka sebelum ini dalam Siri Super Premier Terbuka Australia 2013 menjadi milik jaguh negara.
Jurulatih perseorangan negara Tey Seu Bock memberitahu, bekas pemain No. 1 dunia itu tidak mengalami kecederaan serius walaupun tangannya melecet ketika bertahan daripada serangan Angus.
“Tiada sebarang kecederaan serius, cuma berdarah sedikit selepas menyambut serangan lawan,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia semalam.
Mengulas mengenai perlawanan akhir hari ini, Seu Bock mengingatkan pemenang dua pingat perak Sukan Olimpik itu agar lebih berhati-hati meskipun dia dilihat berpeluang cerah untuk merangkul kejuaraan.
Katanya, berdepan tentangan pemain muda bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan kerana mereka memiliki semangat luar biasa terutama ketika berdepan perlawanan besar seperti itu.
Dia memberitahu, Chong Wei perlu kekal fokus terhadap permainan dan jangan berputus asa.
“Macam perlawanan hari ini (semalam) dan esok (hari ini), mereka adalah pemain muda, jadi Chong Wei kena berhati-hati sebab sema­ngat pemain muda seperti mereka memang luar biasa,” katanya.( Utusan online-).Posted by abnmulya // haji abu bakar ninggal.blogspot.com at 2152 hrs on November 22,2015.