Monday, November 9, 2015

Hadi, 4 lagi berjaya batal saman pemula

Hakim Mahkamah Tinggi Dapati Pemohon Tiada Locus Standi.

Norazlita Mohd Sies : 10 November 2015 @ 1.13am.
Abdul Hadi Awang
KUALA LUMPUR 9 Nov. Empat individu yang memohon untuk mencabar usul pembentangan Rang Undang-undang Persendirian di Parlimen bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355), tiada kedudukan di sisi undang-undang atau locus standi untuk mengemukakan permohonan tersebut. 

Itu antara alasan yang terkan­dung dalam keputusan Hakim Datuk Asmabi Mohamad ketika Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan Pre­siden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan empat yang lain untuk membatalkan saman pemula empat individu terbabit. 


Keempat-empat pemohon iaitu Mansoor Saat, Azira Aziz, Hasbeemaputra Abu Bakar dan Hazwany Jamaluddin dalam saman pemula tersebut memohon supaya mahkamah menghalang Ahli Parlimen Marang itu daripada memasukkan usul untuk meminda Akta 355 dibentang di Parlimen.


Mansoor dan lain-lain memfailkan saman pemula berkenaan pada 12 Jun lalu dengan menamakan Abdul Hadi; Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia; dua Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ismail Mohamed Said dan Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee; serta setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah sebagai defendan pertama hingga kelima.

Pindaan tersebut akan membolehkan bidang kuasa Mahkamah Syariah dipertingkatkan dengan me­ngenakan hukuman yang lebih tinggi berbanding sebelum ini iaitu penjara tiga tahun, sebatan enam kali dan denda maksimum RM5,000.

Peguam Datuk Takiyuddin Hassan yang mewakili Abdul Hadi memberitahu pemberita, kesemua pemohon tidak mempunyai locus standi untuk mencabar usul pembentangan rang undang-undang itu kerana mereka tidak menyatakan sebarang hak mahupun kepenti­ngan masing-masing untuk membawa kes tersebut ke mahkamah.

Malahan katanya, dalam afidavit yang diikrarkan oleh salah seorang daripada individu berkenaan juga tidak menjelaskan siapakah dirinya untuk mewakili yang lain.

Menurut peguam itu, mahkamah turut menerima hujah pihaknya iaitu empat individu terbabit telah memilih cara yang tidak betul de­ngan mengemukakan saman pemula walhal mereka sepatutnya memfailkan semakan kehakiman.

Takiyuddin berkata, mahkamah selain itu menyifatkan tindakan tersebut sebagai pramatang, bersifat akademik dan secara teori sahaja serta berdasarkan andaian semata-mata memandangkan tiada usul yang dibentangkan di Parlimen.

Justeru itu kata peguam itu, Hakim Asmabi yang membuat keputusan tersebut di kamar hakim di sini, melihat tindakan tersebut sebagai suatu penyalahgunaan proses mahkamah.

Takiyuddin menyatakan, Hakim Asmabi berpendapat, Abdul Hadi telah melakukan suatu yang betul sebagai Ahli Parlimen mengikut aturan yang ditetapkan dan berlandaskan kepada undang-undang untuk membawa usul tersebut bagi memper­kenalkan rang undang-undang supaya akta berkenaan dapat dipinda.

Beliau menambah kata, tiada siapa yang boleh menyekat Ahli Parlimen daripada membawa sesuatu perkara untuk dibahaskan.

Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung Pas berkata, kesemua individu terbabit yang diwakili oleh peguam Siti Kasim dan Farez Jinnah, tidak boleh memohon perintah injunksi terhadap Setiausaha Parlimen yang merupakan pegawai kerajaan.

Empat defendan iaitu Pandikar, Ismail, Ronald dan Roosme diwakili oleh Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan.

Sementara itu, Takiyuddin ketika dihubungi berkata, daripada segi undang-undang keputusan tersebut membolehkan usul Rang Undang-undang Persendirian itu dibentangkan di Parlimen.

“Namun begitu ia bergantung kepada Pas sama ada mahu mema­sukkan semula usul tersebut atau tidak. Ini kerana usul tersebut untuk sidang yang lalu. Jadi kena buat usul yang baharu untuk dimasukkan bagi sidang kali ini,” ujar beliau.( utusan online)..Posted by abnmulya // hj.abu bakar ninggal.blogspot.com.at 11.02 am on November 10,2015.

No comments: