Nurul Izzah Anwar

“Saya pasti kamu (media) mempunyai 1,001 isu lain di Parlimen untuk kamu lapor, jadi fokuslah kepada itu,” demikian reaksi Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar kepada pemberita di lobi bangunan Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini melarang beliau dan seorang lagi Naib Presiden PKR, Tian Chua daripada memasuki negeri itu.

Keputusan yang diumumkan oleh Timbalan Yang Dipertua DUN, Datuk Johnson Tee itu diambil kira daripada undian yang dilakukan di dalam dewan.

Dalam pada itu, Nurul Izzah turut menyatakan kesediaannya untuk menggunakan platform Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen untuk memperjelaskan pertemuan beliau dengan Jacel Kiram.

“Saya mempunyai hak yang termaktub dalam Parlimen dan Insya-Allah saya akan teruskan dengan memastikan ada sesi penerangan dan penjelasan seperti yang diminta oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said,” katanya.

Semalam Azalina menyarankan supaya Nurul Izzah menggunakan platform Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen untuk membela diri berhubung pertemuan beliau dengan anak perempuan bekas ketua kumpulan pengganas Sulu, Jacel Kiram.

Dalam pada itu, Utusan Malaysia gagal mendapatkan reaksi Tian Chua berhubung keputusan DUN Sabah berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Abdul Rahman Dahlan berpendapat, keputusan DUN Sabah itu sebagai sangat tepat.

“Jangan marah kerajaan ne­geri Sabah bila membuat satu keputusan untuk tidak membenarkan mereka masuk ke Sabah kerana apa mereka buat itu be­tul-betul menggores rakyat Sabah,” katanya.( Utusan online).Posted by abnmulya // haji abu bakar ninggal bligspot.com at 11.07 am on November 27,2015.