KUALA LUMPUR 4 Nov. – Pas tidak akan tunduk dengan sebarang tekanan DAP untuk keluar daripada pentadbiran Kerajaan PKR Selangor serta akan terus menyokong kepemimpinan Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali.
Naib Ketua Dewan Pemuda Pas, Ir. Khairil Nizam Khirudin berkata, Pas akan kekal dengan pendirian tersebut untuk terus mempertahankan kerajaan negeri Selangor sehingga pilihan raya umum akan datang demi kepentingan rakyat.
Malah, beliau turut mengingatkan DAP untuk memberikan penjelasan kepada rakyat tentang pendirian mereka terhadap kerajaan negeri itu yang diterajui Mohamed Azmin.
“Pas tidak bimbang jika dalam pilihan raya akan datang, DAP mahu bertanding tiga penjuru (dengan Pas) di kerusi-kerusi peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen.
“Namun, buat masa ini, tiada apa-apa yang perlu diubah dan dimusnahkan kerana itu hanya akan memberikan kelebihan kepada Barisan Nasional (BN),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Baru-baru ini, Pengerusi DAP Kajang Baru, Chiong Yoke Kong dilaporkan mencadangkan kepemimpinan tertinggi parti memberi kata dua kepada Mohamed Azmin supaya memecat wakil rakyat Pas dalam pentadbiran negeri.
Bagaimanapun kelmarin, Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad bertegas untuk tidak akan melayan sebarang desakan DAP itu serta mahu parti itu menghentikan sebarang bentuk kenyataan atau tindakan politik yang boleh menyebabkan rakyat berasa jemu.
Mengulas lanjut, Khairil Nizam berkata, adalah lebih baik DAP melihat ke hadapan untuk memastikan segala janji kepada rakyat ditunaikan sebelum pilihan raya umum akan datang.
Beliau berkata, DAP tidak perlu mengorbankan Selangor demi memenuhi hasrat pemimpin tertentu yang gagal melihat kepentingan rakyat berbanding kepentingan politik mereka.
“Dewan Pemuda menyokong kenyataan Iskandar untuk tidak tunduk kepada desakan Yoke Kong yang mahu Menteri Besar memecat wakil rakyat Pas dalam pentadbiran negeri itu.
“Bagaimanapun, kita terbuka untuk berbincang dengan sesiapa sahaja secara matang termasuk PKR atau DAP mengenai masa depan Selangor, namun saya percaya lebih ramai ahli DAP yang tidak bersetuju dengan pandangan itu, walaupun Pas dan DAP kini sudah tidak sehaluan,” jelasnya. ( utusan online).Posted online).Posted by abnmulya // haji abu bakar ninggal.blogspot.com.at 1310 hrs on November 05,2015.
No comments:
Post a Comment