PAS tidak perlu dipaksa keluar daripada kerajaan negeri kerana ia dianggap masih ditadbir dengan baik dan politiknya dalam keadaan stabil, kata Naib Pengerusi DAP Selangor Datuk Teng Chan Kim. |
Tidak ada sebab munasabah untuk memaksa PAS keluar daripada kerajaan negeri Selangor kerana ia dianggap masih ditadbir dengan baik dan politiknya dalam keadaan stabil, kata Datuk Teng Chang Kim.
Mengulas cadangan dibuat perwakilan parti Ahad lalu, naib pengerusi DAP Selangor itu berkata mereka berhak menyuarakan pandangan tetapi ia tidak semestinya mencerminkan pendirian pimpinan DAP Pusat mahupun DAP Selangor.
"Kita tidak khuatir dengan hujah seorang perwakilan saja. "DAP sebuah parti yang demokratik. Semua perwakilan boleh bercakap. Itu hanya pandangan seorang perwakilan," kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Pinang itu kepada pemberita di Dewan Undangan Rakyat (DUN) Selangor, hari ini.
Katanya, Selangor memerlukan kematangan politik dan menggunakan cara pragmatik dalam menguruskan negeri terkaya itu.
Pada Ahad, Pengerusi DAP Kajang Baru Chiong Yoke Kong mencadangkan pimpinan tertinggi parti itu memberi tempoh kepada Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali memecat wakil rakyat PAS daripada kerajaan negeri.
Katanya, jika Azmin gagal memecat wakil rakyat PAS Selangor, pimpinan DAP harus tidak teragak-agak keluar daripada pentadbiran kerajaan negeri itu.
Teng hari ini berkata, tidak ada sebab mana-mana parti perlu keluar daripada pentadbiran negeri itu kerana ketiga-tiga parti – DAP, PKR dan PAS terikat dengan manifesto Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
"Kita terikat sebab dah janji. Jika diberi peluang untuk mentadbir selama 5 tahun, ini yang akan kita lakukan. Mandat itu masih mengikat kita. "Melainkan hendak bertindak dengan cara tidak bertanggungjawab dan membubarkan Dewan.Ini bukan hasrat rakyat untuk melihat Dewan dibubarkan," katanya.
Sebelum ini, mengulas cadangan Chiong itu, Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Iskandar Abdul Samad berkata,
DAP boleh berkata apa saja mereka mahu, namun akhirnya parti Islam itu masih tetap berada dalam kerajaan Selangor.
Katanya, wakil rakyat parti itu merasakan desakan dibuat perwakilan DAP itu tidak perlu diberi tumpuan, sambil menegaskan mereka mempunyai lebih banyak tugas lain yang perlu dilakukan. – 5 November, 2015.( Dipetik dari The Malaysian Insider).posted by abnmulya // haji abu bakar ninggal.blogspot.com at 2226 hrs on NOvember 0,2015.
No comments:
Post a Comment