Abd,Rashid Abd.Rahman |
Naib Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Tan Sri Abd. Rashid Abd. Rahman berkata, perkara tersebut terbukti dalam pilihan raya umum lalu apabila hampir tiga juta orang Melayu yang layak mengundi gagal didaftarkan menyebabkan banyak kerusi majoriti Melayu dikuasai oleh kaum Cina.
Bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu berkata, DAP telah memanfaatkan faktor tersebut dalam pilihan raya umum lalu dengan menambah jumlah pengundi di kawasan yang mereka kalah tipis sehingga parti itu berjaya menguasai lebih banyak kerusi berbanding pilihan raya sebelumnya.
“Bilangan pemilih pada 2013 adalah 13.2 juta. Pengundi Melayu berdaftar sebanyak enam juta tetapi bilangan orang Melayu yang berumur 21 tahun ke atas adalah 8.9 juta, jadi di mana semuanya mereka ini?
“Orang Melayu merupakan 70 peratus daripada keseluruhan rakyat Malaysia tetapi mereka hanya mewakili 58 peratus jumlah pengundi. Kalau semua yang layak ini menunaikan hak, jumlah itu sepatutnya 65 peratus tetapi hakikatnya tidak begitu.
“Segelintir pemimpin Melayu berbangga dengan kuasa yang ada sekarang tetapi lupa untuk menambah pengundi, sedangkan DAP sedang giat mencari pengundi baharu untuk ditempatkan di kawasan tertentu bagi memenangi pilihan raya akan datang,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Tahunan Wiranita Perkasa Kali Ke-2 2015 di sini, hari ini.
Yang turut hadir Naib Ketua Wiranita Perkasa, Junaidah Kitting.
Abd. Rashid berkata, perkara tersebut lebih jelas berlaku di bandar besar seperti Kuala Lumpur yang penduduk Melayu adalah 44 peratus, namun hanya 36 peratus yang mengundi berbanding 43 peratus penduduk Cina yang menguasai 55 peratus jumlah pengundi.
Menurutnya, data SPR mendapati lebih sejuta pengundi Melayu di Kuala Lumpur dan Selangor yang layak masih belum mendaftar sebagai pengundi walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk memberi kesedaran kepada mereka.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan mengkaji balik undang-undang sedia ada agar rakyat Malaysia yang berumur 21 tahun ke atas boleh didaftarkan sebagai pengundi secara automatik bukannya secara sukarela seperti sistem sekarang.
“DAP sangat kuat sekarang, Melayu janganlah hanya berdiam diri. UMNO perlu ingat perkara ini, perbanyakkan gerakan mendaftar pengundi dan lebih baik jika mekanisme baharu dapat dilakukan iaitu pengundi akan berdaftar secara automatik,” tegasnya.( utusan online).Posted by abnmulya...haji abu bakar ninggal.blogspot.com.at 1525 hrs on Disember 20,2015.
No comments:
Post a Comment