![]() |
| Datuk Seri Ahmad Bashah,Meneri Besar Keah yang baharu. |
Ketua UMNO Bahagian Alor Setar yang berusia 66 tahun itu kini menduduki kerusi ‘panas’ Menteri Besar setelah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir melepaskan jawatan selepas 14 Ketua UMNO Bahagian serta Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) hilang kepercayaan terhadap beliau.
Apa yang pasti Ahmad Bashah atau lebih mesra disebut Tok Bashah kini dilihat sebagai ‘orang jahat’ yang menjadi dalang kepada kejatuhan Mukhriz.
Namun, masih segar diingatan penulis sebaik sahaja Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) tamat kira-kira dua tahun yang lalu, tugasan yang perlu diselesaikan ialah mencari di mana Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah ketika itu, Ahmad Bashah berada.
Pada PRU-13 itu, Kedah yang sebelum ini berada di bawah pemerintahan Pas berjaya ditawan kembali oleh Barisan Nasional (BN) setelah menang 21 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala Pas menang sembilan kerusi, PKR (4 kerusi) dan DAP (2 kerusi).
Ketika itu heboh dicanang bahawa Mukhriz yang merupakan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO bakal dilantik menjadi Menteri Besar dan bukannya Ahmad Bashah walaupun ketika itu beliau yang menjadi nahkoda kemenangan BN Kedah selaku Pengarah PRU-13 BN Kedah.
Melalui pertolongan orang kuat Ahmad Bashah, abang Z, penulis, rakan wartawan Kosmo! dan The Star akhirnya dibenarkan ‘mengganggu’ seketika Ahmad Bashah yang ketika itu seorang diri sedang menikmati teh tarik kegemaran beliau di Hotel Star City, Alor Setar.
Ahmad Bashah sebaik sahaja melihat para wartawan terus memanggil lalu memesan teh tarik untuk sama-sama dinikmati petang itu.
“Teh tarik sini sedap, mai (mari) kita minum sama-sama,” pelawa Ahmad Bashah.
Seperti sudah tahu apa soalan yang bakal ditanyakan beliau terus menjawab soalan yang sedang berlegar-legar difikiran para wartawan mengenai jawatan Menteri Besar yang tidak memihak kepada beliau setelah bertungkus-lumus memastikan kemenangan BN di Kedah pada PRU-13.
“Saya ini orang parti, apa sahaja yang Presiden buat untuk kebaikan parti.Kita kerja bukan kejar jawatan, BN menang hasil kerja semua orang, jawatan Menteri Besar biar Presiden uruskan. Saya buat kerja saya macam biasa saja,” kata Ahmad Bashah.
Itulah Ahmad Bashah yang menjadi ADUN Bakar Bata sejak 1999, seorang yang mudah untuk didekati dan tetap rasional.
Selepas PRU-13, Mukhriz akhirnya dipilih menduduki kerusi Menteri Besar dan dilantik menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah. Ahmad Bashah boleh dikatakan ‘turun pangkat’ menjadi Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah namun beliau tidak memberontak.
Krisis politik yang bermula sejak 20 Januari lalu memberikan peluang kepada penulis untuk sekali lagi bertanyakan soal jawatan Menteri Besar kepada suami kepada Datin Seri Hizam Awang Ahmad itu.
“Kalau orang kata apa yang terjadi hari ini disebabkan rasa kecewa, patutnya dari dulu lagi (selepas PRU-13) saya boleh berdiri atas meja, sabotaj parti semua bila Mukhriz diumum sebagai Menteri Besar.
“Saya Pengarah PRU ketika itu, dia (Mukhriz) Timbalan saya, kalau saya sabotaj memang boleh. Saya takkan buat kerja macam tu dan saya bukan orang yang kecewa,” jelas Ahmad Bashah ketika ditanya apakah benar beliau ‘gila’ mahu menduduki kerusi Menteri Besar.
Ahmad Bashah yang menceburkan diri dalam politik di Kedah sejak berusia 22 tahun pasti mempunyai ‘formula’ untuk kembali meredakan suhu panas politik Kedah. Selamat bertugas Tok Bashah.( Utusan online-).Posted by abnmulya //haji abu b akar ninggal.blogspot.com at 2015 hrs on February 04,2016.

No comments:
Post a Comment