Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa menegaskan, setiap pemimpin UMNO juga jangan hanya berani bercakap di luar tetapi takut untuk bersuara dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO.

Katanya, segala hal berkaitan parti tidak perlu dihebohkan di luar sebaliknya dibincangkan bersama atas kapasiti semangat berpasukan dan setia kawan.

“Semua orang yang berjawatan termasuk saya atau sesiapa sahaja yang mempunyai isu boleh berbincang dalam mesyuarat.

“Jangan bercakap banyak di luar (secara terbuka) tetapi (ketika) di dalam mesyuarat mengambil pendekatan diam,” katanya.

Beliau yang mewakili MT UMNO ditemui selepas majlis beramah mesra bersama barisan Ketua Penerangan UMNO negeri sempena sambutan Jubli Perak UMNO Sabah di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Penerangan UMNO negeri, Datuk Sapawi Ahmad.

Ditanya tentang perancangan jentera penerangan UMNO negeri ini, Annuar optimis UMNO negeri ini mampu mengekalkan kemena­ngan cemerlang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 akan datang.

Keyakinan itu disandarkan beliau melalui semangat kesetiaan serta perancangan berkesan hingga menjulang Sabah sebagai negeri ‘deposit tetap’ untuk UMNO dan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Annuar yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) berkata, selaku Ketua Penerangan UMNO yang baharu, beliau akan membuat penambahbaikan berhubung jentera penerangan negeri ini.

“Segala laporan daripada perjumpaan ini akan dibentangkan dalam mesyuarat MT UMNO. Tiada apa yang perlu diubah dalam jentera penerangan dan saya akan lihat ruang yang wajar diperelokkan lagi, itu yang akan saya buat,” katanya.( Utusan online).Posted by abnmulya //haji abu bakar ninggal. blogspot.com.at 10.23 am on Februatu 25,2016.