Tindakan disiplin ke atas Muhyiddin itu diambil mengikut Fasal 10.15 Perlembagaan UMNO berikutan siri serangan beliau terhadap pucuk pimpinan parti termasuk terbaharu ketika mengadakan perjumpaan dengan ketua cawangan UMNO Negeri Sembilan baru-baru ini.

Mesyuarat itu dipengerusikan Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien selepas Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak serta Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (Naib Presiden) memilih meninggalkan mesyuarat kerana tidak mahu dilihat mempengaruhi keputusan.

Bagaimanapun, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh tidak hadir mesyuarat itu walaupun menerima jemputan dan beliau dipercayai berada di luar negara.

Keputusan tersebut menyaksikan Muhyiddin menjadi Timbalan Presiden UMNO pertama yang digantung jawatan selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat pada 1998 kerana terbabit dengan pelbagai salah laku.

Dua lagi bekas Timbalan Presiden UMNO yang terpalit dengan krisis politik dalaman parti iaitu Allahyarham Tun Ghafar Baba dan Tun Musa Hitam masing-masing melepaskan jawatan secara sukarela.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ketika mengumumkan perkara itu berkata, keputusan dicapai secara sebulat suara selepas lebih dua jam mesyuarat berlangsung dengan semua ahli MT UMNO menyatakan pandangan masing-masing.

“Majlis Tertinggi telah bersetuju sebulat suara untuk menggantung jawatan Timbalan Presiden UMNO yang disandang Muhyiddin berkuat kuasa serta merta. Tempoh penggantungan hingga pemilihan parti akan datang.

“Tugas selaku Timbalan Presiden mengikut fasal 9.8.2.1 parti adalah membantu Presiden tetapi dalam kes Muhyiddin, beliau tidak menjalankan tanggungjawab yang diperuntukkan dalam Perlembagaan UMNO.

“Majlis Tertinggi memandang serius mana-mana pemegang jawatan utama dalam parti UMNO yang tidak mendukung aspirasi dan dasar parti,” katanya yang membacakan kenyataan dalam sidang akhbar selepas mesyuarat berkenaan di Menara Dato’ Onn di sini hari ini.

Mesyuarat MT itu dihadiri oleh semua anggotanya kecuali Muhyiddin dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Muhyiddin, 69, menceburi politik pada 1978 dan memenangi kerusi Parlimen Pagoh selama dua penggal sebelum beralih bertanding Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Serampang yang membuka jalan baginya menjadi Menteri Besar Johor pada 1986.

Selepas khidmatnya sebagai Menteri Besar Johor tamat, Muhyiddin memegang beberapa portfolio berbeza sebelum dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri kepada Najib pada April 2009 tetapi dilucutkan daripada jawatan itu pada 28 Julai tahun lalu.

Dalam pada itu, Tengku Adnan berkata, MT mengambil maklum bahawa UMNO mendukung prinsip kebebasan bersuara dan tidak pernah mengekang mana-mana pemimpin untuk menyuarakan pendapat tetapi perlulah melalui saluran yang betul.

“Perilaku Muhyiddin tidak mencerminkan tanggungjawab beliau selaku Timbalan Presiden yang sepatutnya membantu Presiden dalam mengukuhkan parti, sebaliknya beliau melemahkan parti,” katanya.

Ditanya siapakah pemimpin UMNO yang mengemukakan usul penggantungan tersebut, Tengku Adnan sekadar berkata, keputusan dibuat secara konsensus.

Kepada soalan mengenai siapa yang bakal memangku jawatan Timbalan Presiden UMNO, beliau berkata, dalam Perlembagaan parti tiada klausa untuk memangku jawatan nombor dua dalam UMNO itu.
“Dalam Perlembagaan UMNO tiada Pemangku Timbalan Presiden, jadi Majlis Tertinggi putuskan Ahmad Zahid menjalankan tugas-tugas sebagai Timbalan Presiden,” jelasnya.