Thursday, April 13, 2017

Bank Dunia Unjur KDNK Negara 4.3 Peratus.


Zunaidah Zainon 14 April 2017 3:00 AM.

KUALA LUMPUR 13 April - Bank Dunia mengunjurkan ekonomi Malaysia akan berkembang 4.3 peratus tahun ini manakala 4.5 peratus pada 2018 dipacu oleh subsidi kerajaan yang lebih tinggi, perbe­ lanjaan infrastruktur dan peningkatan eksport.

Ketua Ekonomi Asia Timur dan Pasifik Bank Dunia, Sudhir Shetty berkata, unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dikekalkan pada 4.3 pe­ratus tahun ini kerana menjangkakan tekanan fiskal kekal pada kewang­an awam walau­pun berlaku pe­ning­katan secara ber­­ansur-ansur dalam pertumbuhan perdagangan global dan kenaikan harga komoditi.

Katanya, kadar pertumbuhan Ma­­laysia yang perlahan secara mendadak pada 2016 dise­babkan kerajaan memperkenalkan dasar-dasar fiskal untuk diselaraskan dengan harga komoditi yang rendah. 

“Kami juga men­­jangkakan permintaan domestik akan menjadi tunggak yang memperkukuhkan pertumbuhan ekonomi Malaysia sepanjang tahun ini, dengan pasaran buruh yang stabil dan langkah menyokong pendapatan seper­ti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), secara tidak langsung dapat mengukuhkan penggunaan swasta dalam masa terdekat.

“Sehubungan itu, apa yang boleh kita lihat, ialah pertumbuhan sederhana dalam tempoh tiga tahun akan datang, mening­kat pada 2017 dan kemudiannya terus menunjukkan prestasi yang semakin baik pada 2018 dan 2019,” katanya selepas pembentangan Laporan Terkini Ekonomi Asia Timur dan Pasifik di sini hari ini.

Berdasarkan laporan itu, pertumbuhan di rantau ini akan terus dipacu oleh permintaan domestik yang kukuh termasuk pelaburan awam dan swasta. Ia juga disokong oleh permin­taan terhadap eksport yang se­­makin meningkat me­­mandangkan pemulihan ekonomi di negara mem­ba­ngun dan pasaran baharu muncul.

Pemulihan yang perlahan dalam harga komoditi akan memberi manfaat kepada pengeksport komoditi di rantau ini tetapi tidak menjejaskan ekonomi pengimport komoditi di Asia Timur.

China juga akan terus men­­catat pertumbuhan yang sederhana sekali gus mencerminkan langkah-langkah berkesan kerajaan untuk mengurangkan kapasiti berlebih­an dan pengembangan kredit. Negara ekonomi membangun dalam rantau ASEAN dijangka berkembang lebih pesat pada 2017 dan 2018 disebabkan oleh pelbagai faktor.

Antaranya, Fili­pina akan mendapat manfaat daripada perbelanjaan awam yang tinggi dalam infrastruktur, peningkatan pelaburan swasta, pengemba­ngan kredit dan pe­ningkatan kiriman wang sekali gus mendorong ekonominya ber­kembang 6.9 peratus pada 2017 dan 2018.

Di Indonesia pula, pengemba­ngan kredit dan harga mi­nyak yang tinggi akan membantu ekonomi negara berkembang 5.2 peratus tahun ini berban­ding lima peratus pada 2016 manakala Viet­nam dijangka mencatat pertumbuhan ekonomi 6.3 peratus tahun ini sejajar dengan sentimen kecenderu­ngan pasaran pelaburan langsung asing yang kukuh.

Sementara itu, Pakar Ekonomi Kanan Bank Dunia bagi Malaysia, Dr. Rafael Munoz Moreno berkata, defisit fiskal Malaysia dijangka menyusut kepada tiga peratus tahun ini dan 2.8 peratus pada 2018 berbanding 3.1 peratus tahun lalu.

“Ini kerana terdapatnya pemulihan dalam harga komoditi dan minyak mentah yang secara tidak langsung memberi kelebihan kepada prospek pengukuhan fiskal kerajaan,” katanya.( Utusan online).Postd by abnmulya // haji abu bakar ninggal.blogspot.com.at 1017 am on April  1`4,2017.

No comments: