Saturday, April 15, 2017

JEPUN UCAP TAHNIAH

Usaha bawa pulang rakyat Malaysia 
dari Korea Utara dikagumi

NAJIB TUN RAZAK bersama Noh Omar, Ahmad Razif Abdul Rahman dan Jailani Johari (kanan) melihat model perumahan PPR yang bakal dibina selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah PPR Bukit Nanas, Kuala Nerus, Terengganu, semalam. MINGGUAN/AZLAN BAHRUM 

Radhuan Hussin dan Rosalinda Md.Said
April 16,2017 @ 3.00am.

KUALA TERENGGANU 15 April. Perdana Menteri menyatakan, beliau sendiri menerima ucapan tahniah daripada kerajaan Jepun menerusi duta negara itu di Malaysia, Dr. Makio Miyagawa dalam pertemuan di ibu negara tengah hari ini.

Menurutnya, ucapan tahniah dan penghormatan daripada duta berkenaan dilafazkan dalam majlis ketika meraikan kunjungan Raja Mahkota Jepun ke negara ini.

 Beliau memberitahu, duta ber­kenaan memaklumkan seramai 100 rakyat Jepun yang ditahan di Korea Utara sejak tahun 1970-an dan 1980-an masih tidak diketahui nasib mereka sehingga kini.

 “Mereka telah berunding tapi nasib lebih 100 rakyat Jepun itu masih tidak diketahui. Duta Jepun tabik pada Malaysia kerana berjaya bawa balik sembilan rak­yat kita dengan selamat.

“Kejayaan kita ini telah menyebabkan negara lain hormati dan sanjung tinggi Malaysia,” katanya ketika berucap dalam majlis Pecah Tanah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bukit Nanas, Tepoh, Kuala Nerus dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman; Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek serta Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari.

Dalam perkembangan lain, Najib memberitahu, beliau akan ke negara China bulan depan bagi menghadiri satu persidangan yang antara lain menyentuh perbincangan mengenai pembinaan Rangkaian Kereta Api Pantai Timur (CRL) yang akan mula dilaksanakan tahun ini.

Beliau memberitahu, pelaksanaan projek mega itu mampu memberi banyak manfaat kepada seluruh rakyat di Pantai Timur.

“Rakyat Terengganu, Pahang dan Kelantan akan untung. Saya buat ini (CRL) untuk kepentingan rakyat. Ia tidak lencong ke Pekan (Parlimen yang beliau wakili) dan projek ini dapat memanfaatkan pelabuhan di Kuantan, Kemaman selain Klang,” katanya.

Malah, kata Perdana Menteri, sebaik sahaja projek tersebut siap, ia mampu meningkatkan ekonomi Pantai Timur sebanyak 1.5 peratus, yang akan memberi pulangan kepada rakyat.( Utusan online).Posted by  abnmulya //haji abu bakar ninggal.blogspot.com. at 1425 hrs on April 15,2017.

No comments: