Thursday, October 25, 2012

JEMA'AH HAJI WUKUF DI ARAFAH

Seorang jemaah haji lelaki yang kurang upaya mengayuh basikal menggunakan tangan di sebatang jalan di Padang Arafah menjelang wukuf, semalam. - AFP 

PADANG ARAFAH 25 Okt. - Lebih dua juta jemaah haji dari 189 buah negara mula berkumpul di Padang Arafah awal pagi ini bagi menyempurnakan ibadah wukuf. Sesetengah jemaah tiba di Padang Arafah sejak semalam dan bermalam di khemah-khemah yang disediakan di situ, namun ada juga jemaah yang tiba ketika subuh.

Selepas sembahyang subuh, jemaah bergerak menuju sebuah bukit kecil 'Jabal Rahmah' sambil berdoa. Kawasan yang terletak antara dua bukit berbatu besar itu juga merupakan tempat Nabi Muhammad SAW menyampaikan khutbah terakhirnya sebelum baginda wafat.

Pengawal mengarahkan jemaah agar tidak mendaki tangga bukit berbatu yang licin itu menggunakan pembesar suara, "Nabi Muhammad SAW sendiri tidak pernah mendaki bukit itu," tegas arahan itu.

Bagaimanapun, ada jemaah yang ingkar dengan mendaki bukit tersebut. Kumpulan jemaah dari Syria dilihat membawa bendera besar dengan lambang kumpulan pemberontak, sebagai simbol menentang pemerintahan Presiden Bashar al-Assad.

Selepas matahari terbenam, jemaah akan bergerak menuju Muzdalifah yang terletak antara Mina dan Arafah, mengumpul batu kerikil untuk dilontar di Jamratul Aqabah esok, acara akhir bagi menyempurnakan Rukun Haji dan menandakan tibanya Aidiladha.

Selepas itu, umat Islam akan melakukan ibadah korban yang dituntut dalam Islam sebagai lambang pengorbanan yang pernah dilakukan Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail. Ketika menyempurnakan baki tiga hari ibadat haji, jemaah masih meneruskan upacara melontar batu sebelum melakukan tawaf wida', tawaf selamat tinggal sebelum pulang ke negara masing-masing. - AFP(utusan online-luar negara).Posted by abnmulya at 2.25am on October 26,2012.

No comments: