PENIAGA ayam daging, Hamzah Osman, 48, menyusun ayam berharga RM8.50 sekilogram di Pasar Besar Melaka Sentral, Melaka, semalam.
KUALA LUMPUR 20 Julai - Harga ayam standard yang ditetapkan pada kadar RM7.70 sekilogram di seluruh negara berbanding purata harga runcitnya sekarang, RM8.40 sekilogram masih lagi dianggap mahal dan membebankan pengguna.
Datuk Hasan Malek |
Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Datuk Yusuff Ismail berkata, pihaknya menerima banyak rungutan daripada orang ramai tentang kadar harga ayam standard itu yang diumumkan semalam.
Katanya, rungutan orang ramai itu rata-rata datang daripada golongan berpendapatan rendah dan mereka berharap agar kerajaan dapat menetapkan harga ayam standard pada kadar di bawah RM7.
"Ramai pengguna yang telefon saya pagi ini, mereka kata kerajaan tak bantu mereka kerana kadar RM7.70 masih lagi tinggi.
"Kerajaan juga masih belum beri penjelasan apa mekanisme yang mereka gunakan untuk mengawal harga ayam daripada terus naik," katanya ketika dihubungi hari ini.
Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek mengumumkan harga ayam standard akan ditetapkan pada kadar RM7.70 sekilogram di seluruh negara berbanding purata harga runcitnya sekarang, RM8.40 sekilogram.
Hasan berkata, penurunan 70 sen itu akan dilaksanakan dalam Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Puasa tahun ini selama 17 hari bermula 26 Julai ini.
Dalam pada itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Kelantan, Datuk Seri Dr. Mohd. Fared Abd. Ghani berkata, harga terbaharu yang ditetapkan itu sebenarnya lebih tinggi berbanding harga siling sebelum ini iaitu RM7.50 sekilogram.
Katanya, walaupun harga itu lebih murah daripada harga yang dinaikkan peniaga baru-baru ini iaitu sehingga RM10 sekilogram di sesetengah negeri, namun masih tetap membebankan penguna terutamanya sempena musim perayaan ini.
"Setiap kali apabila menjelang musim perayaan, pengguna pasti tersepit kerana harga barangan seringkali meningkat naik dengan mendadak.
"Sebelum Ramadan lalu ayam hanya dijual sekitar RM6.50 sekilogram tetapi apabila tiba musim perayaan, harga terus meningkat naik sekali ganda," katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pelindung Pengguna Kelantan (Pelindung), Ahmad Othman pula berkata, harga terbaharu yang ditetapkan itu diharap dapat meringankan beban para penguna selepas ini.
Katanya, sebelum ini, harga ayam melambung begitu tinggi sehingga mencecah RM10 sekilogram, namun dengan ketetapan harga baharu itu, ternyata lebih murah.(Utusan online-Dalam Negrri).Posted by abnmulya / Bakar Ninggal.blogspot.com.,at 2.10 am on July 22,2013.
No comments:
Post a Comment