Wednesday, September 18, 2013

Permohonan Alvivi batal 31 Oktober

KUALA LUMPUR 17 Sept. - Permohonan pasangan kontroversi Alvin Tan dan Vivian Lee yang didakwa mempersendakan umat Islam dan bulan Ramadan untuk membatalkan pertuduhan yang dihadapi mereka mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan akan didengar di Mahkamah Tinggi di sini pada 31 Oktober ini.

Permohonan bagi membatalkan satu daripada tiga pertuduhan yang dihadapi mereka akan didengar oleh Hakim Kamardin Hashim.

Timbalan Pendaftar, Noor Aini Yusof menetapkan tarikh itu di kamar beliau hari ini dengan kehadiran peguam, Nur Adilah Kamarzaman bagi pihak tertuduh dan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin. Alvin atau nama penuhnya Tan Jye Yee, 25, dan Vivian atau Lee May Ling, 24, memfailkan permohonan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada 21 Ogos lalu.

Mereka memohon perisytiharan bahawa Seksyen 298A akta tersebut tidak konsisten dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan serta tidak sah di sisi undang-undang.

Mereka turut memohon perintah perisytiharan bahawa peruntukan undang-undang itu adalah tidak terpakai dan tidak boleh dikuatkuasakan terhadap mereka.

Mengikut pertuduhan di bawah Seksyen 298A(1)(a) akta tersebut, Alvin dan Vivian didakwa memuat naik di laman Facebook mereka satu penerbitan gambar dan komen yang bertajuk

"Selamat Berbuka Puasa (dengan Bak Kut Teh...wangi, enak, menyelerakan!)" mengandungi logo halal dan ayat yang mempunyai kecenderungan menghasut.

Perbuatan itu yang berkemungkinan menyebabkan perasaan permusuhan atas alasan agama dalam kalangan penganut agama berlainan didakwa dilakukan di Syed Restoran, Jalan Dang Wangi di sini.

Di bawah seksyen tersebut, tertuduh boleh dihukum penjara minimum dua tahun dan maksimum lima tahun. Selain itu, Alvin dan Vivian atau turut dikenali sebagai Alvivi didakwa bersama-sama menerbitkan gambar dan komen yang sama di laman sosial serupa dengan ayat-ayat yang mempunyai kecenderungan menghasut. 

Bagi dakwaan ini, pertuduhan dibuat mengikut Subseksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.(Utuisan online-mahkamah).Posted by abnmulya / Bakar Ninggal. blogspot. com.at 1840 hrs on September 18,2013.

No comments: