Sunday, September 22, 2013

PM DAN TPM menang Tanpa bertanding

Najib, Muhyiddin kekal jawatan 
Oleh Zulkiflee Bakar pengarang@utusan.com.my 

KUALA LUMPUR 21 Sept. - Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin diumumkan menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden selepas tempoh penyerahan borang pencalonan yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) berakhir pada pukul 5 petang ini.
Presiden  Parti Umno,Datuk Seri Najib Tun Razak

Najib memegang jawatan itu sejak 2009 setelah menang tanpa bertanding, manakala Muhyiddin juga memenangi jawatan tersebut sejak 2009 setelah menewaskan bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhd Taib.

Apa yang uniknya pada proses pendaftaran calon itu, kedua-dua pemimpin tersebut merupakan pencadang bagi pencalonan sesama mereka. Muhyiddin merupakan pencadang Najib bagi jawatan Presiden, manakala Najib pula menjadi pencadang Muhyiddin untuk jawatan Timbalan Presiden.

Kemenangan dua pemimpin itu sememangnya sudah diduga memandangkan sebelum ini bahagian-bahagian UMNO di seluruh negara menyatakan sokongan agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak ditandingi.

Ketika mengulas keputusan tersebut, Najib berkata, dengan mengekalkan jawatan masing-masing beliau dan Muhyiddin yakin dapat meneruskan perjuangan dalam parti bagi memastikan UMNO menjadi parti yang terbesar dan kuat di negara ini.

Sementara itu, sebanyak 261 borang pencalonan diserahkan bagi jawatan Majlis Tertinggi (MT), Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri. Bagi jawatan Naib Presiden pula, enam calon disahkan bertanding termasuk tiga penyandang jawatan iaitu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal.

Ketiga-tiga yang mengadakan sidang akhbar bersama melahirkan keyakinan akan mampu mempertahankan kedudukan masing-masing dalam pemilihan kali ini dengan memberi peringatan kepada semua calon agar bertanding dalam semangat kekeluargaan.

Mereka akan dicabar oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir, bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad.

Tan Sri Muhyddin Yassin, Tim.Presiden Umno
Kehadiran Mohd. Ali yang bertanding buat kali kedua selepas pernah menyandangnya pada tahun 2004 untuk menyerahkan borang pencalonan kira-kira pukul 3.40 petang menamatkan spekulasi yang menyatakan beliau akan menarik diri.

Mukhriz pula ketika mengulas penyertaannya bagi merebut jawatan ketiga tertinggi dalam UMNO itu berkata, dalam usianya yang telah menginjak 49 tahun, ia merupakan masa paling sesuai untuk beliau memberi sumbangan kepada parti melalui platform Naib Presiden terutama dalam usaha meremajakan UMNO.

Pemilihan bagi jawatan Ketua Wanita UMNO pula menyaksikan kemunculan mengejut bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia, Senator Datuk Maznah Mazlan untuk mencabar penyandangnya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Turut akan merebut jawatan tersebut ialah Ahli Jawatankuasa Wanita UMNO Kulim Bandar Bahru Raihan Suleiman Palestin. Turut menarik perhatian ialah pertandingan bagi jawatan Ketua Pemuda UMNO apabila Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin yang sebelum ini diramalkan akan menang tanpa bertanding dicabar empat calon lain.

Mereka ialah Ketua Pemuda UMNO bahagian Merbok Abdul Karim Ali ; Penolong Setiausaha Cawangan Pusat Bandar Taman Chempaka, Pandan, Syed Rosli Syed Harman Jamalullail; Ketua Pemuda UMNO Cawangan Bendang Baru, Langkawi, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi dan Ketua Pemuda UMNO Cawangan Bukit Setiawangsa Irwan Ambak Khalid Izhar.

Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, kesemua calon yang menyerahkan borang pencalonan mempunyai tempoh 72 jam untuk menarik diri daripada bertanding.

Pemilihan jawatan Wanita, Pemuda dan Puteri akan diadakan 12 Oktober manakala MT pada 19 Oktober. Sementara itu, Najib sebelum berlepas ke Amerika Syarikat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini, berkata, ketiadaan persaingan bagi merebut jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dalam pemilihan UMNO menunjukkan kematangan ahli-ahli parti itu walaupun berlaku perubahan dalam perlembagaan parti.

"Dengan mengekalkan jawatan masing-masing, saya dan Muhyiddin yakin dapat meneruskan perjuangan parti dalam memastikan UMNO menjadi parti yang terbesar dan kuat di negara ini.

"Bagi saya, ini adalah lambang kematangan ahli UMNO meskipun kita telah meminda perlembagaan dan menjadikan parti terbuka dan lebih mudah bagi sesiapa untuk mencabar dua jawatan tertinggi," katanya.( Utusan online-politik).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.at 1538 hrs on September 22,2013.

No comments: