![]() |
Bekas Ketua Juruterbang Penerbangan Serantau MAS, Kapten Datuk Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain menyatakan sedemikian kerana MAS mempunyai semua rekod berkaitan pesawat itu sejak dibeli 17 tahun lalu.
"Kita (MAS) memang ada kepakaran untuk kenal pasti yang telah berlaku sebab pesawat ini telah dirombak oleh pihak MAS sendiri. Ini kerana apabila pesawat yang sudah melebihi enam tahun atau mempunyai jumlah jam penerbangan melebihi 20,000 jam akan dirombak yang bermaksud kesemua alat di dalam pesawat itu akan diganti baharu.
"Jadi skru-skru yang 12 tahun dulu telah ditukar dan direkod, saya yakin kalau pesawat tu telah diubah suai, MAS mesti ada rekod.
"Jadi pasukan penyiasat pastinya menyenaraikan jabatan kejuruteraan, Jabatan Operasi Penerbangan, Jabatan Keselamatan Penerbangan dan Korporat dan pasukan komunikasi MAS."
Nik Huzlan yang mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang penerbangan turut menyatakan pandangan beliau berkemungkinan pesawat itu ditembak disebabkan laporan media antarabangsa menyatakan pesawat itu pecah kepada tiga komponen besar manakala bahagian tengah pesawat sahaja yang mempunyai kesan terbakar.
"Bagi pandangan saya sendiri, media melaporkan terdapat tiga komponen besar daripada pesawat itu yang berkecai, tetapi hanya bahagian tengah pesawat mempunyai kesan bakar manakala bahagian ekor dan kepala tidak.
"Oleh itu, saya agak khuathir kenapa bahagian tengah pesawat mempunyai kesan terbakar yang tidak merebak ke bahagian belakang mahupun depan," katanya.
Sementara itu, Penganalisis Antarabangsa dan Strategik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Ravichandran Moorthy memberitahu Bernama Malaysia tidak mempunyai kepakaran untuk menangani isu ini di arena antarabangsa.
"Kita perlu terlebih dahulu kenal pasti siapa yang bertanggungjawab atas tragedi ini, sama ada kerajaan (Rusia atau Ukraine) atau oleh militan (disokong Rusia)?" katanya.
Ravichandran berpendapat sukar untuk membuktikan siapa yang bertanggungjawab atas insiden itu.
"Menerusi badan antarabangsa, Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), masyarakat antarabangsa boleh memberikan tekanan kepada kedua-dua pihak untuk memberikan akses kepada pasukan antarabangsa untuk menyiasat insiden di tempat kejadian," katanya.
Malaysia sendirian tidak dapat memaksa mana-mana negara kecuali menerusi PBB untuk mengambil tindakan punitif, katanya.
MH17 yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur sebelum terhempas di kawasan utara Ukraine, dipercayai ditembak jatuh.
Pesawat Boeing 777 itu berlepas dari Amsterdam pada 12.15 tengah hari (waktu Belanda) Khamis dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada pukul 6.10 pagi (waktu Malaysia) Jumaat. - BERNAMA (Utusan online-dalam negeri).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com.at 12.11 am on July 19,2014.
No comments:
Post a Comment