Friday, July 31, 2015

Rakyat kita sendiri tentukan.Bukan orang luar

SaifulNizam Mophamad : 01 Ogos 2015 1:39 am.


NAJIB TUN RAZAK bergambar bersama sebahagian daripada 1,200 imam dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung yang terpilih untuk menunaikan ibadah haji selepas Majlis Penyerahan Surat Tawaran Fardu Haji Program Khas Perdana Menteri-Yayasan 1MDB di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, semalam. UTUSAN/RASHID MAHFOF 


PUTRAJAYA 31 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menegaskan, kepemimpinan kerajaan hanya boleh ditentukan oleh rakyat negara ini dan bukannya orang luar.

Sehubungan itu, beliau berkata, orang asing tidak berhak menjadi penentu siapa yang sepatutnya berada dalam kerajaan atau siapa perlu dijatuhkan.

“Doakan kepemimpinan kerajaan negara kita, kita akan tentukan bukan orang luar tentukan, bukan orang asing,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Surat Tawaran Fardu Haji Program Khas Perdana Menteri-Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) 2015 kepada 1,200 imam dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki; Pengerusi 1MDB, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin dan Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Pada masa sama, Najib turut menyelar pihak yang menerima sesuatu berita hanya bersandarkan kepada persepsi terutama daripada media sosial tanpa berusaha mencari kebenaran bagi menentukan sama ada fakta yang tersebar itu benar atau sebaliknya.

“Saya bagi contoh bagaimana isu pembelian tanah oleh Tabung Haji di Tun Razak Exchange (TRX) yang dibeli daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Bukan main riuh satu negara yang kata simpanan deposit Tabung Haji akan digunakan untuk selamatkan 1MDB.
“Kemudian masa berlalu dan realiti sebenarnya pelaburan yang dilakukan oleh Tabung Haji itu berpotensi mendapatkan keuntungan yang besar kerana TRX berada dalam lokasi strategik selain menjadi pusat kewangan,” katanya.

Perdana Menteri berkata, sehingga satu peringkat, ada Ahli Parlimen pembangkang mahu Tabung Haji membatalkan cadangan menjual tanah tersebut ketika isu itu diperbahaskan di Parlimen.

“Inilah yang berlaku disebabkan fitnah melalui jari jemari (media sosial). Disebabkan persepsi perkara yang sepatutnya menjadi satu kebaikan telah menjadi sebaliknya,” katanya lagi.

Malah dalam ucapannya juga beliau turut mengingatkan bahawa dalam Islam, semua pihak wajib mencari kebenaran, begitu juga dengan prinsip seseorang itu tidak boleh dikatakan bersalah selagi kesalahan itu tidak dibuktikan.

“Namun dalam media sosial terbalik. Seseorang yang dituduh bersalah mesti buktikan yang dia tidak bersalah. Sebab itu saya puji Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang berpegang kepada prinsip seseorang itu tidak bersalah selagi kesalahannya tidak dibuktikan,” katanya lagi.

Berhubung program khas haji Perdana Menteri-Yayasan 1MDB Perdana Menteri berkata, penajaan setiap peserta itu melibatkan perbelanjaan lebih RM17,000 setiap orang membabitkan kos asas yang ditaja oleh 1MDB sebanyak RM9,980 dan subsidi sebanyak RM7,200 oleh Tabung Haji.
“Inisiatif untuk melaksanakan program itu tercetus susulan tinjauan yang dilakukan dalam kalangan kumpulan berkenaan dan saya mendapati masih ramai di antara mereka tidak berpeluang mengerjakan haji, antaranya disebabkan kekangan kewangan,” katanya.

Najib berkata, beliau terharu dan simpati dengan keadaan itu dan sebagai menghargai sumbangan kumpulan yang begitu berperanan di peringkat akar umbi, pihaknya memutuskan supaya diwujudkan satu program khas bagi menaja golongan sasar untuk menunaikan haji.

‘‘Saya merasa hiba bila dapat tahu ada imam, ketua kampung dan JKKK yang amat berjasa ini tidak dapat menunaikan haji dan Alhamdulillah setelah masuk kali kelima dijalankan kita telah berjaya menghantar sebanyak 3,400 jemaah termasuk penerima hari ini. Inilah hasrat yang ingin saya lihat dan tunaikan,’’ katanya.( Utusan online).Posted by abnmulya / Hajai abu b akar ninggal.blogspot.com.at 9.47 am on Ogos 01,2015.

No comments: