Mohd Ali Rustam

Presiden Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), Senator Tan Sri Mohd. Ali Rustam berkata, masa untuk berpolitik sudah berlalu dan usaha perlu ditumpukan bagi menyusun gerak kerja yang kemas serta teratur untuk memartabatkan orang Melayu dan umat Islam.

Menurut beliau, kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan generasi muda Melayu yang sepatutnya mewarisi kepemimpinan negara hilang kuasa politik pada masa akan datang.

“Orang lain sudah lama bekerja untuk mendapatkan kuasa politik tetapi jika kita terus berpecah belah, kesempatan itu akan digunakan oleh mereka.

“Akhirnya yang rugi adalah orang Melayu dan sekiranya ini berlaku, penyesalan tidak berguna lagi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bekas Ketua Menteri Melaka itu mengulas tentang salam perpaduan yang dihulurkan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika berucap merasmikan Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015 pada Khamis lalu.

Mohd. Ali menambah, saranan itu mencerminkan keikhlasan Perdana Menteri untuk memperkukuhkan perpaduan umat Islam di negara ini.

Beliau memberitahu, pucuk pimpinan Pas wajar menyambut salam perpaduan yang dihulurkan Najib secara terbuka dan tanpa syarat demi masa depan orang Melayu serta umat Islam.

“Kepemimpinan Pas perlu melihat perkara ini secara serius dengan mengambil pendekatan buang yang keruh, ambil yang jernih,” jelasnya.( Utusan online).Posted by abnmulya...haji abu bakar ningal.blogspot.com