Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Seri S. Nallakaruppan berkata, Najib kini berada di landasan terbaik dan jika diberi peluang memimpin lebih lama lagi, beliau pasti memperoleh pencapaian lebih baik daripada Dr. Mahathir yang sebelum ini menerajui negara selama 22 tahun.

“Banyak yang Najib telah lakukan kepada rakyat terutama golongan miskin. Setiap masa beliau fikirkan tentang rakyat dan apa yang diperkatakan atau dijanjikan akan ditunaikannya.

“Dr. Mahathir sudah jadi Perdana Menteri untuk tempoh yang lama, kenapa mesti mahu ganggu pula orang lain yang menjadi Perdana Menteri. Berilah peluang kepada Najib mentadbir negara ini dengan caranya pula,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Menurut Nallakaruppan, tingkah laku Dr. Mahathir terhadap kepemimpinan Najib hanya akan menambah masalah kepada rakyat dan negara.

Sehubungan itu, beliau berkata, sudah tiba masanya Dr. Mahathir ‘mengunci mulut’ dan tidak masuk campur lagi dalam urusan pentadbiran negara.

“Perbuatannya (Dr. Mahathir) langsung tidak membantu rakyat dan negara, apatah lagi Perdana Menteri. Lebih baik diam dan ja­ngan ganggu Perdana Menteri, biarkan beliau (Najib) buat apa yang beliau mahu buat kepada rakyat.

“Dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), tidak boleh­kah Dr. Mahathir tunggu (diselesaikan)? Macam orang yang baru berkahwin, takkan esok sudah mahu anak? Berilah masa kepada Najib,” ujarnya.

Dalam pada itu, Nallakaruppan yang juga Presiden Parti Bersatu India Malaysia (MIUP) berkata, beliau akan terus menyokong kepemimpinan Najib dan meletakkan kepercayaan sepenuhnya ke atas Presiden UMNO itu dalam menerajui negara(Utusan on line).Posted b y abnmulya...haji abu bakar ninggal.blogspot.com. at 1532 hrs on Disember ,22,2015..