Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, usaha penyatuan antara dua parti politik, Pas dan UMNO seperti ada sinar yang semakin terang dan nyata.
“Alhamdulillah berdasarkan apa diungkapkan oleh Abdul Hadi kemudian disambut Perdana Menteri, saya rasa cahaya di hujung terowong ke arah perpaduan dan tahuluf siyasi antara kedua-dua parti kini semakin terang dan nyata,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015 di sini hari ini yang dirasmikan Perdana Menteri.
Yang turut hadir Timbalan Syeikhul Azhar, Prof. Dr. Ahmad Mohammad Al-Tayyeb dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, dalam usaha ke arah kesatuan ummah itu, tidak seharusnya mana-mana parti mengorbankan ideologi perjuangan politik masing-masing.
Apa yang penting katanya, kedua-dua parti sudah bersetuju untuk berbeza pandangan dalam isu ter­tentu.
“Apabila kita melihat perpaduan, kita tidak boleh ukur dengan mencairkan mana-mana ideologi dan identiti parti.
“Apa yang paling penting adalah kita meletakkan kepentingan rakyat dan umat Islam di tempat paling tinggi. Kita boleh berbeza pandangan tetapi apabila menyentuh kepentingan Islam, maka semua pihak harus bersatu memperjuangkannya,” katanya.( Utusan online-politikj).Posted by abnmulya // haji abu bakar ninggal.blogspopt.com.at 6.55 am on Disember 18,2015.