Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, peluang dan ruang perlu diberikan kepada kerjasama antara UMNO dengan Pas meskipun perkara berkenaan tidak membawa kepada penggabungan kedua-dua parti Melayu dan Islam itu.
“Ramai kalangan pemerhati politik yang melihat hubungan UMNO dengan Pas berdasarkan perbalahan daripada sejarah lampau, ini satu kesilapan besar, landskap politik sekarang sudah berubah dan cara kita mengamatinya juga harus berbeza.,
“Semua pihak perlu memberi peluang dan ruang agar kerjasama terbentuk secara semula jadi, apa yang penting adalah keberuntu­ngan politik Melayu serta Islam dan kerjasama tersebut mungkin akan mendahului persaingan kedua-dua parti itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Ketua Pemuda Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, kerjasama antara Pas dengan UMNO dalam perkara berkaitan kepentingan agama dan rakyat akan membuka dimensi baharu landskap politik negara pada masa depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru menghulurkan salam perpaduan kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika merasmikan Majlis Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015.
Dalam pada itu, Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Azmi Hassan berkata, kerjasama berkenaan dapat me­ngurangkan persepsi perbalahan kedua-dua parti itu namun banyak pihak sebenarnya berharap kerjasama tersebut dapat diterjemahkan dalam bentuk politik.
“Kerjasama bukan politik memang boleh direalisasikan, kalau dilihat semasa bencana banjir besar di Kelantan tahun lalu, memang kita sudah nampak kerjasama ke­dua-dua parti itu untuk kepenti­ngan rakyat.
“Bagaimanapun, harapan ramai pihak adalah untuk melihat kerjasama tersebut dapat diterjemahkan dalam bentuk politik agar manfaatnya bukan hanya untuk UMNO dan Pas tetapi juga seluruh rakyat Malaysia termasuk masyarakat Melayu dan Islam,” katanya.
Ujarnya lagi, UMNO dengan Pas tidak semestinya bersatu, namun beliau berpendapat perlu ada persefahaman untuk kedua-dua parti berkenaan bagi menghadapi pakatan pembangkang dalam pilihan raya umum akan datang.( utusan online-) posted bya ab nmulya  // haji abu bakar ninggal.blogspot.com.at 2353 hrs on Disember 24,2015.