Nik Mohamad Abduh

Ketua Pemuda Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, impian rakyat di negara ini untuk melihat perpaduan di antara kedua-dua parti tersebut bagi mewujudkan persaingan politik yang sihat.
Beliau berkata, rakyat sudah matang untuk membuat keputusan memilih mana parti yang terbaik untuk memerintah negara ini.

Menurutnya, Pas akan terus kekal sebagai pembangkang manakala UMNO sebagai pemerintah untuk ketika ini dan jika UMNO buat benda yang baik, Pas akan sokong.

“Sebagai pembangkang Pas tidak boleh asyik hendak bangkang perkara baik yang dibuat oleh UMNO dan itu bukan politik sihat. Begitu juga dengan UMNO, jika Pas atau parti pembangkang lain membuat kebaikan, mereka perlu berbuat perkara yang sama iaitu tidak menyekat. Inilah yang kita mahukan iaitu berpolitik secara matang.

“Apabila pilihan raya umum, kita akan berlawan seperti biasa dan ketika itulah rakyat akan membuat penilaian parti mana yang mereka akan pilih dan sokong,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan persekolahan kepada pelajar kurang berkemampuan di sini, hari ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menghulurkan salam perpaduan kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika merasmikan Majlis Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015.

Najib menghulurkan salam perpaduan kepada Abdul Hadi dengan berpandukan suruh Ali-Imran ayat 103 yang mengajak umat Islam agar berpegang teguh kepada tali Allah dan melarang daripada berpecah-belah.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Nik Mohamad Abduh yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, Pas akan terus memperjuangkan hudud sehingga menemui noktah.

Katanya, parti itu akan membawa sekali lagi Rang Undang-undang (RUU) Persendirian berkaitan hudud untuk dibentangkan di Parlimen pada bulan Mac tahun hadapan selepas ditolak sebelum ini.

“Bulan lepas kita tidak bentang di Parlimen kerana berdepan dengan saman. Alhamdulillah kita menang, jadi kita akan bawa sekali lagi ke Parlimen,” ujarnya.( utusan online).Posted by abnmulya...haji abu bakar ninggal.blogspot.com at 1624 hrs on Disember 23,2015.