FAKHRUDDIN ABDUL MUKTI
Resolusi tersebut meminta UMNO dan Pas membina keakraban dalam kerjasama bagi menguatkan pengaruh serta kekuasaan orang Melayu dan Islam di Malaysia dalam mendepani pelbagai cabaran termasuk pejuang hak asasi manusia yang berlandaskan fahaman Yahudi dan barat.
Presiden Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar (WAAG) Malaysia, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Fakhrudin Abdul Mukti berkata, bagi mencapai objektif itu, para ulama turut bersetuju menubuhkan sebuah jawatankuasa penaja yang bertanggungjawab mengatur pertemuan secara berkala antara pemimpin UMNO dan Pas bagi merungkai kekusutan yang selama ini menghalang kerjasama tersebut.
“Perpaduan sesama umat Islam adalah satu kewajipan. Perbezaan pandangan dan ideologi ialah fakta kehidupan yang jika tidak ditangani dengan baik boleh mengakibatkan perpecahan, persengketaan dan kemunduran.
“Islam menerima perbezaan pandangan namun perlu dijaga adab perbezaan tersebut agar membawa kemudahan dan keharmonian kepada ummah. Sebaliknya perbezaan ini tidak boleh sesekali dijadikan alasan kepada permusuhan dan persengketaan.
“Perbezaan ideologi politik harus dianggap sebagai kelainan pendekatan yang tidak semestinya dileburkan menjadi satu, namun perbincangan dan dialog berterusan perlu agar wujudnya keakraban hubungan dan pandangan,” katanya ketika membacakan resolusi yang diluluskan dalam multaqa tersebut di sini hari ini.
Multaqa yang pertama kali dianjurkan itu dilihat sebagai perintis kepada kerjasama kedua-dua parti terutama selepas Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut menghadirinya.
Ketika berucap merasmikan multaqa itu semalam, Najib yang menganggap dirinya mewakili kabilah UMNO menghulurkan salam perpaduan apabila mengajak Abdul Hadi mewakili kabilah Pas untuk bersatu mengikut ajaran al-Quran.
Program berkenaan yang bermula pada Rabu lalu dan berakhir hari ini turut dihadiri Timbalan Syeikhul Azhar, Prof. Dr. Ahmad Mohammad Al-Tayyeb; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajidi Dusuki; Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan timbalannya, Datuk Mohamad Amar Nik Abdullah.
Yang turut hadir. Timbalan Syeikh Al-Azhar, Prof. Dr. Abbas Shouman; Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed; Presiden WAAG Thailand, Syeikh Faisol Muhammad Leewan; Presiden WAAG Indonesia, Prof. Dr. Muhammad Quraish Shihab; Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Brunei, Dr. Norarfan Zainal; Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dan Mufti Kedah, Datuk Syeikh Muhamad Baderudin Ahmad.
Beberapa forum dianjurkan sepanjang persidangan berkenaan yang memberi fokus kepada perpaduan ummah di Malaysia, Asia Tenggara dan bagaimana usaha itu boleh dicapai serta cabaran-cabaran yang dihadapi umat Islam.
Mengulas lanjut, Mohd. Fakhrudin berkata, selain Islam dan perpaduan, resolusi yang turut diluluskan adalah adab perbezaan pendapat, peranan Rabitah Antarabangsa Aumni Al-Azhar Antarabangsa Malaysia, Islam dan cabaran di Malaysia, wasatiyyah Al-Azhar sebagai panduan, ideologi politik dan perpaduan ummah serta perpaduan dan keamanan ummah.
“Inisiatif penganjuran multaqa ini amat dihargai oleh pihak kerajaan, pembangkang dan semua lapisan masyarakat Islam bagi merealisasikan perpaduan merentasi tembok pelbagai aliran pemikiran dan ideologi politik kepartian yang dianggotai oleh majoriti orang Islam,” tambahnya.( utusan online).Posted by ab nmulya //haji abu bakar ninggal.blogspot.com at 2.53 am on Disember 19,2015.