Sehubungan itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semua pihak sama ada UMNO atau Pas harus mengenepikan ego dan ‘sejarah silam’ sebaliknya memikirkan tentang perpaduan dalam kalangan umat Islam.

“Kita mengalu-alukan sebarang kerjasama antara UMNO dan Pas walaupun bukan kerjasama politik sekalipun kerana kerjasama itu penting bagi kita menunjukkan bahawa adanya perpaduan dalam kalangan umat Islam di negara kita.

“Kalau semua orang bercerita tentang sejarah silam dan mempertahankan ego dan sebagainya sampai bila-bila umat Islam tidak akan berpadu dan perpecahan ini tidak menguntungkan sesiapa pun (umat Islam).

“Jadi saya harap yang penting­nya demi untuk kekuatan Islam kita ketepikan segala ego dan sebagai­nya sebaliknya duduk semeja berbincang secara terperinci bagaimana untuk mengukuhkan perpaduan,” katanya dalam sidang akhbar sempena majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat daerah Bera di Masjid Jamek Triang dekat sini hari ini.

Yang hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayan, Datuk Mohd. Fadil Osman; Pegawai Daerah Bera, Datuk Rahizan Azharudin; Ketua Polis Daerah Bera, Deputi Superintenden Mohd. Rosdi Daud dan Kadi Daerah Bera, Ashaari Abdul Rahman.

Ismail Sabri yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, perpecahan yang berlaku pada masa ini menyebabkan umat Islam semakin lemah dan tidak dihormati oleh orang lain.
Katanya, ini dapat dilihat apabila terdapat banyak pihak yang sudah berani mempersoalkan secara terbuka mengenai perkara dan per­aturan yang dibuat oleh umat Islam.

“Perpecahan ini tidak menguntungkan dan sebab itulah kita lihat hari ini sudah ramai mempertikaikan tentang agama kita malah sudah mula mencabar secara terbuka tentang apa yang kita hendak buat untuk orang Islam dan sebagainya,” katanya.

Menurut Ismail Sabri, UMNO sentiasa terbuka dalam soal perpaduan umat Islam dan bersedia berbincang demi memastikan umat Islam akan terus gemilang dan dihormati.

Katanya, perbincangan secara teliti dan terperinci mengenai kerjasama kedua-dua parti itu boleh dilakukan asalkan kedua-dua pihak benar-benar ikhlas ke arah perpa­duan umat Islam.

Dalam pada itu, ditanya me­ngenai penerimaan parti komponen Barisan Nasional (BN) khususnya MCA terhadap kerjasama itu, Ismail Sabri berkata, parti komponen terlibat tidak harus menentang perkara itu kerana ia melibatkan kepenti­ngan umat Islam.

Katanya, sejak dari dahulu lagi perlembagaan UMNO telah jelas menyatakan matlamat untuk memartabatkan Islam begitu juga Pas yang memberi keutamaan kepada agama Islam.

Malah katanya, isu hudud yang dibangkitkan sesetengah pihak juga tidak harus timbul kerana hukum Islam itu adalah untuk umat Islam sahaja dan pada masa ini pun telah wujud mahkamah syariah.( Utusan online).Posted by abnmulya //haji abu bakar ninggal.blogspot.com at 12.28 noon on Disember 27,2015.