Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kejayaan hebat itu menyebabkan banyak pengkaji politik tertanya-tanya apakah sifir atau formula yang digunakan parti terbesar orang Melayu tersebut sehingga mampu bertahan biarpun berdepan cabaran yang cukup keras.
Jelasnya, kekuatan itulah juga yang memungkinkan British terpaksa akur dengan tuntutan kemerdekaan sehingga membolehkan UMNO memimpin negara ini bersama rakan-rakan Barisan Nasional (BN) dan kepemimpinan tersebut kekal sehingga sekarang.
“Apakah sifir dan formula yang diguna UMNO hingga membawa kepada kejayaan tak putus-putus memerintah bumi bertuah sampai ke hari ini? Wajar kita renung kembali (untuk mencari jawapan) me­ngapa 26 persatuan Melayu berhimpun di tangga Istana Johor.
“Intipati kekuatan parti keramat ini terletak pada namanya. Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu dipilih khas kerana daripada itulah kita bersatu yang menjadi kunci kepada kejayaan kita walaupun pelbagai krisis dan cabaran politik melanda UMNO dalam tempoh 70 tahun ini.
“Keduanya, apabila UMNO berjaya memecah tembok kenegerian, tidak berjuang atas kelompok kecil tetapi nasional. Kekuatan luar biasa ini menyebabkan penjajah terpaksa serah bumi ini kepada rakyat Malaysia untuk dipimpin UMNO dan rakan-rakan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-70 UMNO di sini, semalam.
Sempena majlis tersebut, UMNO turut menganugerahkan Tokoh Melayu Terbilang 2016 kepada veteran UMNO, Tan Sri Abdul Aziz Tapa.
Dalam pada itu, Najib berkata, satu lagi asas kekuatan utama UMNO ialah kesetiaan ahlinya ter­hadap parti, sehingga membolehkan UMNO menempuhi segala badai politik yang melanda.
Tegasnya, bagi sebuah parti politik besar seperti UMNO adalah lumrah sekiranya berlaku perbalahan serta perbezaan pandangan dan setiap kali keadaan itu berlaku, disiplin ahli serta rasa kasih kepada UMNO menyebabkan semua warganya kembali bertaut.
“Sebab itu saya katakan dan saya ulang sekali lagi, kalau ditakdirkan suatu hari nanti saya berselisih faham dengan pengganti saya, saya takkan keluar UMNO sebab saya tahu UMNO terlalu besar jasa dan budinya pada negara. Saya tidak akan khianati parti hingga ke akhir hayat,” ujarnya.( Utusan onlie).Posted by abnmulya // haji abu bakar n inggal..blogspot.com at 5.30 am on Mei 13 2016.